| Detik cemas pertembungan Islam-sekular di Turki | 
| Wednesday, 05 September 2007 | |
| Oleh Nahar Azmi Mahmud SESUDAH diangkat menjadi presiden Turki dua minggu lalu,  mantan menteri luar, Abdullah Gul, kini perlu membuktikan beliau dapat  berbaik-baik dengan golongan sekular negara tersebut. Wajah Islam Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan, dan  Gul memang ketara.  Setidak-tidaknya, isteri mereka bertudung. 
 Tudung bak mencerminkan kebangkitan Islam, seperti yang berlaku sewaktu  gelora revolusi Islam di Iran pada 1979. Erdogan dan  Gul tunggak Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) - parti  pertama berwajah Islam yang cuba berbaik-baik dengan Kesatuan Eropah (EU) dan  yang pertama berjaya memacukan kemajuan ekonomi yang pesat di Turki. Dari segi bilangan penyokong, gerakan sekular kian terhakis. Namun, bak api  lilin yang bakal padam, ia lazimnya marak besar. Selain pernah melancarkan tunjuk perasaan di seluruh kota besar, gerakan  sekular yang didukung tentera dan Parti Rakyat Republikan telah memulaukan  upacara pelantikan Gul sebagai presiden. Presiden dipulau tentera Sebelum ini, ketua angkatan bersenjata, Jeneral Yasar Buyukanit, memberi  kata dua bahawa kini semakin ketara tanda nista yang mengancam kehidupan sekular  Turki sejak diasaskan oleh Mustafa Kemal Ataturk pada 1923. 
 Selain ratusan pendukung sekular melancarkan bantahan terhadap Presiden  Gul, tentera tampak cuba melancarkan siasahnya. Sudah sering Turki menyaksikan kudeta. Selain alasan membela sekularisme,  tentera sebenarnya mahukan lebih kuasa. Padahal, ragam tentera tidak disukai oleh EU, yang masih menimbangkan,  sejak 1960-an, permohonan Turki untuk menganggotainya. Banyak kes pelanggaran hak asasi dilakukan tentera Turki, termasuk  menduduki utara Cyprus dalam rangka melindungi keturunan Turki yang ditindas hak  minoritinya oleh kaum majoriti Greece. AKP kian popular selepas berjaya dalam pilihan raya umum secara kilat pada  Julai lalu. Dengan parlimen dan jawatan presiden di tangan AKP, tentera memang  terpinggir. Politik ambil hati Satu pindaan perlembagaan boleh merubah kedudukan tentera untuk tidak boleh  melancarkan kudeta. Malah, Gul dan  Erdogan boleh menggantikan para jeneral demi  mencabut 'taring' tentera. Gul mendakwa telah memutuskan hubungan dengan golongan pendukung republik  Islam pada 1999 dulu. Beliau perlu berbaik dengan tentera agar ia tidak  menggoncangkan suasana negara itu. Dengan 70 juta penduduk dan merupakan ekonomi negara majoriti Islam antara  paling moden di dunia (setanding Malaysia), potensi Turki memang besar. Sebahagian rakyat minoriti Islam di Eropah, terutama Jerman, berasal dari  Turki. Dalam dialognya dengan editor media Turki, Gul menegaskan bahawa  pemerintahnya memelihara hak asasi, termasuk wanita dan kaum minoriti, serta  kebebasan memilih jalan hidup sesuai dengan batas yang ditentukan oleh  perlembagaan sekular negara itu. Sebagai arkitek dasar luar Turki,  Gul berjanji akan cuba merapatkan  negaranya dengan EU. Namun, rekodnya sebagai anggota kuat Parti Refah (Kebajikan) pada 1991  untuk meluaskan Islam, masih terus dipersoalkan. Refah pimpinan mantan perdana  menteri Necmettin Erbakan telah diharamkan selepas tentera merampas kuasa pada  1997. Tinjauan media mendapati warga Turki kian matang dalam mengimbangi hidup  sekular, seperti di EU, dan beragama anutan nenek moyang mereka, iaitu  Islam. Namun, gerak tindak tentera Turki masih dinantikan. Apakah akan ada kudeta  lagi? BHS | 


 

No comments:
Post a Comment